Saturday, September 27, 2008

AIDILFITRI

Kehadiran Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah sesungguhnya menjanjikan suatu limpahan nikmat yang besar dan harus disyukuri oleh umat Islam. Aidilfitri yang bermaksud Hari Raya Fitrah, Hari Raya kesucian manusia. Disebut juga sebagai hari kembalinya kesucian kepada kita. Kembalinya fitrah kepada kita dan kita pun harus tampil sebagai manusia suci dan baik, sebaik-baiknya kepada sesama manusia.

Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat perundangan Ilahi. Suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah ia merangkumi asas yang satu iaitu kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.

Hari Raya Fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kembali kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah (SWT). Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah (SWT).

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Dalam kita merayakan Aidilfitri ini setidak-tidaknya ada tiga perkara yang mesti dilakukan iatu,

* Pertama, bertakbir mengagungkan Allah (SWT) atas segala petunjuk-Nya, sehingga kita tetap berada di jalan-Nya.
* Kedua, bersyukur dengan membahagikan rezeki yang diperoleh dengan membayar zakat fitrah
* Ketiga menahan marah dan saling maaf-memaafkan.

Hal ini sebagaimana diajarkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 dan ali-Imran ayat 134: …Mereka yang tetap berderma baik dalam keadaan lapang ataupun sempit dan mereka mampu menahan marah, lagi pula bersifat pemaaf kepada sesama manusia.

Justeru itu, suasana lebaran adalah suasana keilahian dan kemanusiaan. Apa yang lebih penting dari itu ialah melalui semangat Syawal kita terus menperbaiki perilaku peribadi, hubungan dengan orang lain serta hubungan kita dengan Allah (SWT).

No comments: